Sekejap betul masa berlalu dan ketika ini kita sedang diuji dengan penularan wabak pandemik COVID-19. Walau apa jua situasi yang mendatang, hidup perlu diteruskan dan tanggungjawab perlu dilaksanakan . Zakat merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang kelima dan adalah menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam secara individu mahupun sebagai ketua keluarga melunaskannya . Sekarang pun kita tahu yang Negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) , tapi jangan bimbang sebab ada kaedah bayar zakat fitrah & harta secara atas talian lebih mudah dan pantas

Tunai Zakat Di Hujung Jari – Secara Online (Atas Talian)

Bayar Zakat Secara Atas Talian Lebih Mudah Dan Pantas
Musim PKPB ni kita online je bayar zakat , lebih mudah – Bayar Zakat Secara Atas Talian Lebih Mudah Dan Pantas

Sepanjang tempoh PKPB ni ada ke yang risau tentang cara pembayaran zakat ? Jangan risau , sebab harini Sal nak share contoh paling terbaik yang dilaksanakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) di mana kaedah pembayaran zakat fitrah secara dalam talian dioptimumkan bagi memudahkan pembayar menunaikan kewajipan dengan kaedah yang lebih pantas dan selamat .

Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.
.
خُذْ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ صَدَقَةًۭ تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌۭ لَّهُمْ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ۝
.
” Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. ” – Surah At-Taubah (Ayat 103)

Sebenarnya masih ada yang ambil ringan tentang kewajipan berzakat ni walaupun pelbagai usaha kesedaran dilaksanakan oleh pihak lembaga zakat . Mungkin ada yang lebih selesa menggunakan kaedah pembayaran melalui amil . Ni Sal tak nafikan untuk membantu mereka yang tidak mahir menggunakan teknologi atau tidak mempunyai capaian internet , namun pelaksanaannya adalah minimum.

Bayar Zakat Secara Atas Talian Lebih Mudah Dan Pantas
Jangan lupa tunaikan zakat untuk anda dan keluarga … ada hadiah menarik menanti anda jugak tau . Cepat , mana tau antara yang bertuah kan ??

Mungkin ada negeri yang tidak menyediakan perkhidmatan bayaran fitrah melalui amil maka para pembayar perlulah merujuk pihak Majlis Agama Islam Negeri dan Agensi Mengurus Zakat selaku pihak berkuasa agama negeri. Makanya bagi Negeri yang melaksanakan atau menerima pembayaran secara dalam talian (online) seharusnya beruntung sebab tak perlu untuk keluar rumah , nak fikir parking lagi … hanya di hujung jari . Tambah bila PKPB ni kita perlu maksimakan pergerakan sebagai langkah pencegahan .

Sah Atau Tidak Bayar Zakat Secara Atas Talian

Selamat jugak bayar online ni … korang jangan risau . Lunaskan tanggungjawab tu yang penting !!

Korang masih ada keraguan ? Seriously sebelum ni Sal ada gak terfikir mengenai hukum bayar zakat secara online . Yelah , biasanya Mr Hubby bayar dengan amil  .. ada akad . Sebab tiap kali bayar , Sal memang ada sekali .  Bayar pun biasanya di shopping mall sambil berbelanja .. hehehe . Ni cerita last year ya . Sal dah cari gali mengenai hukum untuk puaskan hati .

  • Zakat seseorang sah di sisi syariat apabila berlaku dua perkara iaitu niat menunaikan zakat dan pemindahan harta atau wang zakat tersebut.
  • Apabila kita menunaikan zakat menerusi medium seperti ini melalui aplikasi SMS atau pembayaran atas talian (online payment), niat sudah berlaku ketika itu dan pemindahan pegangan harta yakni wang itu juga sudah berlaku.
  • Zakat yang dibayar telah mencukupi syarat-syarat sah pembayaran zakat tersebut, hukum berzakat dengan kaedah ini adalah harus dan digalakkan.
  • Zakat adalah termasuk dlm kategori tabarru’ (derma/sedekah). Akad tidak diwajibkan ke atas muamalah seumpama ini. Ia berbeza dengan akad mubadalah (pertukaran) seperti bai’, jual salam, mudharabah dan lain-laim. Akad atau lafaz ijab dan qabul diwajibkan ke atas muamalah seperti ini.
  • Zakat adalah ibadah yang tidak disyaratkan akad. Mengikut pandangan Mazhab Imam Syafi’e, wajib berniat di dalam hati dan tidak disyaratkan dengan kata-kata seperti contoh “Ini zakat zakat” walaupun tanpa berniat fardhu, ini kerana membayar zakat merupakan suatu kewajipan.(Rujukan: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/1811)
  • Hukum pembayaran zakat fitrah melalui pembayaran elektronik berdasarkan kaedah pembayaran zakat fitrah melalui SMS sama ada secara prabayar atau pascabayar adalah harus. Manakala hukum menggunakan kaedah pembayaran zakat fitrah melalui internet, mesin ATM dan e-Debit adalah harus.
jangan lupa bantu warga emas atau yang kurang pendedahan tentang bayaran zakat secara online ni
BACA JUGA: Kempen Zakat@Family Bersama Lembaga Zakat Selangor

Islam adalah agama yang bersifat menyeluruh iaitu menerima perubahan dari semasa ke semasa. Dengan kewujudan teknologi dan inovasi ini sedikit sebanyak membantu kita melaksanakan ibadah dengan lebih mudah dan cepat .

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:

“….. Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan, dan ianya tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran….”

Bersama LZS Dan Cara Pembayaran Zakat Dalam Talian

Sal kagum dengan usaha dan kempen yang dilaksanakan oleh LZS sebab kaedah bayaran dalam talian bagi zakat fitrah dan harta sebenarnya amat memudahkan proses pembayaran dibuat sepanjang tempoh PKPB ni. Yelah, demi langkah pencegahan agar penularan COVID-19 dapat dibendung . Secara tak langsung dapat meringankan beban umat Islam dan mengambil kira keadaan semasa.

Bayar Zakat Secara Atas Talian Lebih Mudah Dan Pantas
Tak perlu nak bersesak keluar musim PKPB ni .. boleh guna BIMB … CIMB Islamic…Maybank

Ada banyak cara sebenarnya untuk kita lunaskan pembayaran zakat secara online dan Sal tertarik dengan kaedah:

EZakatPay

Mudah sangat dengan hanya 3 langkah:

  • Imbas QR Code di atas atau layari https://fpx.zakatselangor.com.my
  • Isi dan lengkapkan maklumat diri
  • Buat Pembayaran zakat

Aplikasi E-Wallet 

Anda ada 2 pilihan untuk membuat pembayaran zakat melalui aplikasi di handphone: 

  • GoPayz
  • Boost

Kalau korang keliru atau nak informasi lanjut , korang boleh layari website LZS . Banyak sangat informasi tentang zakat dan Sal pun selalu rujuk sana .

Bila Waktu Yang Sesuai Bayar Zakat Fitrah

Bila berada di bulan Ramadan, kita tak  boleh lari daripada melunaskan zakat fitrah . Dikongsikan bersama 5 waktu untuk kita tunaikan zakat fitrah:

  • Waktu Wajib – Apabila terbenam matahari akhir Ramadhan sehingga terbit matahari satu Syawal
  • Waktu Afdal – Sebelum sembahyang Hari Raya
  • Waktu Sunat – Sepanjang bulan Ramadan
  • Waktu Makruh – Selepas sembahyang hari raya sehingga terbenam matahari 1 Syawal
  • Waktu Haram – Selepas terbenam matahari 1 Syawal

Selain dari Zakat Fitrah ada beberapa bahagian zakat yang perlu korang tahu jugak seperti Zakat Pendapatan , Zakat Perniagaan , Zakat Wang Simpanan , Zakat Pelaburan, Zakat KWSP, Zakat Emas dan Perak dan Zakat Takaful .

Dalam pada itu, pihak LZS juga sedang giat melaksanakan kempen agar orang ramai timbul kesedaran untuk melaksanakan zakat sehingga akhir bulan Mei . Banyak jugak hadiah menarik menanti . Mana tahu rezeki korang kan !

hulurkan bantuan pada mereka yang memerlukan

Sebarang pertanyaan hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343 atau layari portal rasmi Lembaga Zakat Selangor . Masih ada kesempatan waktu lagi untuk lunaskan tanggungjawab . Dengan berzakat sebenarnya mempunyai pelbagai hikmah dan faedah yang banyak . Ia adalah untuk kebaikan pengeluar zakat dan juga penerimanya . Faedah zakat juga dapat dinikmati oleh individu dan masyarakat .

Bayar ZAKAT sebelum terlewat , Ramadan semakin hampir meninggalkan kita !